Adakah Rasa itu Begitu Menyeksakan?

Aku sering duduk termangu,
Sambil menghirup cangkiran kopi,
Acah-acahnya berfalsafah hidup,
Ingin mengerti tabii zat bernama hati.

Awalnya aku pun tidak menyedari,
Bahawa terlalu cepat memberi kasih,
Sehingga disangkakan inilah cinta abadi,
Meski baru dua tiga langkah dibalas.

Namun, setelah bertemu yang satu ini,
Fikiranku berubah tujuh penjuru kelilingnya.
Rasa ini bagai membisik jalinan kata,
Menjadi bukti cinta luhur selamat berlabuh.

Aku kian sama juga termenung.
Sama ada percaya kepada sang hati ini,
Atau bermusuhan dengan diri sendiri,
Semuanya kelihatan kabur dek bayangannya.

Tuhan, cerahlah bola mata yang memandang ini,
Agar aku tidak lagi terpalit dalam keharuan,
Yakni akibat salah memilih titik tumpuan,
Sehingga yang merana hanyalah yang satu.

Adakah rasa itu begitu menyeksakan?
Sekiranya itulah kepahitan sebuah hidup,
Aku katakan sanggup menempuh laluan,
Kerana kuyakin kamulah orang penyimpan jawapan.

Berkatalah sang pencinta di sebalik jendela,
     "kemarilah duhai wanita pemilik rahsia cinta."

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *