Apabila Tubuh Mengkhianati Jiwa

Sesungguhnya ada sesuatu yang lebih sakit rasanya daripada dikhianati. Sesuatu itu bermula apabila dirimu bertindak mengkhianati jiwamu sendiri. Ya, seperti sekarang, yang mana mungkin aku dan kamu sedang merasainya.

Bagaimana sifat dan keadaan tubuh mengkhianati jiwa itu? Tidakkah kedua-dua unsur ini berpadu?

Semuanya berlaku jika kamu tidak merelakan semua yang berlaku. Maka atas sebab itu jiwa kamu menginginkan yang tiada, malah yang tidak mungkin ada. Kemudian atas fitrah insan tubuhmu menjalani hari-hari biasa seakan-akan rontaan jiwa menjadi bisingan serigala malam sahaja. Tiada kena mengena dengan dirinya.

Namun, sungguh benar setiap yang dipanggil jirim itu sentiasa menuju kehancuran. Pendapat aku, saat pemberontakan jiwa yang berlaku telah meledak sehingga ke pangkal, maka sukarnya lain macam untuk jasadmu menahannya. Berontaknya jiwa ini tidak sama seperti nafsumu, yang mengawalnya sahaja menghabis usia.

Saat itu, belum pasti sama ada kamu mati atau gila. Namun, apa yang diceritakan ini ialah rentetan bagaimana diriku merasakan bahawa hidup ini tidak seharusnya sempit begini. Hidup ini alangkah bagusnya jika terbentang luas laluan bahagia untuk kita. Ah, metafora ini tidak cukup bagus berbanding anggapan aku sendiri.

Di dunia ini, aku ingin menyatakan bahawa pengkhianatan tubuhmu terhadap jiwamu bukanlah satu kesalahan. Apa yang menjadi buah kerosakan ialah jiwamu yang sentiasa merasakan kamu lebih agung daripada Tuhan. Jiwamu itu terkadang tidak disebat dengan api kemurkaan Tuhan, sehingga saat sebatan itu tiba, kamu menganggap Tuhan itu jahat. Ah, perangai yang begitu celaka ini pasti pernah kamu zahirkan, kerana aku tidak terkecuali untuk itu.

“Wahai jiwa yang tenang” itu panggilan daripada Tuhanmu jika kamu yakin bahawa jiwamu selayaknya begini. Sebaliknya, jika jiwamu tidak sedar bahawa tempat duduknya di situ, maka aku mengharapkan Tuhan yang sifatnya yang Maha Agung itu menenangkan jiwamu.

Namun penjelasan aku ialah kata-kataku ini sebagai satu pengharapan. Pengharapan kepada yang pasti. Yang pasti itu Tuhan mencukupkan segala-galanya untuk kita. Penyelesaiannya mungkin tidak mudah, tetapi cukup jelas bahawasanya perjuangan kita mengawal jiwa daripada keinginan yang melampau seakan-akan tubuh kita tidak akan binasa. Ketahuilah bahawa kita semua utusan yang membawa takdir Tuhan bersama-sama kita.

Kepada kita yang selalu merasakan jiwa dan perasaan melebihi segala-galanya di dunia, ketahuilah ini bukan tempatnya untuk saling beradu keegoan.

Tuhan memandang kita.

S.H. IV-VI-MMXXI

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *