Dicarik Harapan dan Kepercayaan

Setiap langkah yang telah aku lalui,
Sebenarnya banyak mengajar aku,
Tentang betapa luasnya rasa kecewa,
Terhadap setiap usaha yang tidak dibalas.

Hanya aku sahaja yang mungkin,
Dapat menterjemah segala duka,
Ke dalam bentuk penyesalan,
Terhadap manusia yang banyak mengecewakan.

Namun aku sering alpa dan terlena,
Bahawa sesungguhnya bukan diri ini sahaja,
Yang dicarik harapan dan kepercayaan,
Bahkan, kelompok besar ini turut menjadi saksinya.

Atas kesedaran itulah terbangkit diriku,
Untuk terus menjadi pelupa terhadap ketinggalan,
Agar ketenangan mampu menjadi taklukan,
Walau dalam jiwa ini tidak tertulis, terkata, dan terbayang.

Harapanku ini bukanlah sebesar usahamu.
Namun tidak sanggup aku melihat kamu mengulangiku,
Dengan meratap seribu satu kecewa tanpa hujungnya,
Sehingga tiada lagi tersisa satu dua kesyukuran jiwa.

Mungkin diri ini lebih fakir dalam menimbang,
     Tetapi tidak salah melepaskan jiwa yang telah mati,
     Kerana jiwa yang telah mati tidak akan hidup dengan harapan.

S.H. XXVI-VII-MMXXII

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *