Kepada sahabat baharuku,
Kuucapkan darjat keselamatan,
Atas kejayaan menempuh cabaran,
Menjumpaiku yang giat menolak tawaran.
Kepada sahabat baharuku,
Izinkan kuperkenalkan diri ini,
Yang sebenarnya lain beza daripada cakap-cakap,
Semoga ketulusan tertinggi perkenalan ini.
Kepada sahabat baharuku,
Kuterangkan kesukaan dan kemahuan,
Yang mungkin terjauh sukar diterangkan,
Kerana sifatku yang menginginkan kelainan.
Kepada sahabat baharuku,
Kuminta penjelasan terang,
Tentang segala yang ada padamu,
Agar dengannya kudapat membuka ruang penerimaan.
Kepada sahabat baharuku,
Aku juga dipenuhi dengan kekurangan,
Sebagaimana yang diketahui sukma ini,
Harapannya agar diterima seadanya.
Kepada sahabat baharuku,
Marilah berbeza pandangan,
Kerana kujuga panasaran,
Tentang bagaimana rupa dunia di matamu.
Kepada sahabat baharuku,
Aku juga pernah menjalinkan kepercayaan,
Dengan penama yang akhirnya menolakku,
Jauh tersadai tanpa sempat dia toleh.
Kepada sahabat baharuku,
Aku tidak menjanjikan kesetiaan buta,
Sehingga seorang manusia menghalang lainnya,
Kerana aku juga memiliki ruang hembusan nafas.
Kepada sahabat baharuku,
Janganlah beranggapan aku ini membeza-beza,
Kerana perjalanan ini sentiasa berpilihan,
Sedangkan aku perlu memilih dua, tiga yang terbaik.
Kepada sahabat baharuku,
Turunkan pengharapanmu,
Aku juga takut berulang hebat yang dahulu,
Sehingga dianggap tidak berdaya memegang rasa.
Kepada sahabat baharuku,
Kuceritakan kelukaan,
Yang pernah membekas di hati,
Walaupun takterwujud rasa terkilan.
Kepada sahabat baharuku,
Aku berharap agar kaupercaya bahawa tidak akan terdetik rasa kesesalan atas perkenalan ini. Aku pernah meletakkan jutaan pengharapan kepada dia yang kuanggap teman, namun kehendak hasad dan kebencian mengalihkan kedudukan kesetiaan kami. Cukuplah derita ini dalam aku menempuh pembelajaran isi kehidupan kerana aku yakin kebahagiaan itu terbitnya daripada keikhlasan yang tidak berbelah bahagi kuatnya. Janganlah diulangi episod layanan nista yang telah kudapatkan, hanya kerana cakap-cakap orang yang membenciku. Dalam perjalanan ini, berjanjilah bahawa andai sahaja sejuta kesaksian tentang keburukanku, kauakan terus berdiri tegak memegang sejuta lagi janji kesediaan yang kita meterai tanpa keraguan. Aku sebagai sahabat baharumu menjanjikan kesediaan yang setimpal kerana aku yakin semangat inilah yang akan membawaku berlayar jauh hingga ke bahtera kedamaian.
Kepada sahabat baharuku,
Jika terwaraskan akal dalam memilih permulaan ini,
Jabatan tangan ini menjadi saksi kesetiaan,
Agar aku dan kamu merasai cahaya kebersamaan.
Kepada sahabat baharuku,
Selamat datang dengan jiwa yang bertautan,
Kubentangkan permaidani tawa keabadian.
S.H. IV-III-MMXXII
Related