Kidung Rindu

Aku memilih untuk berdiam,
Sekiranya yang diharap menjadi lesap,
Kerana takrifan dunia aku mengerti,
Seadil dunia tiada daya memuas nafsu.

Andai dihajat tiada salahnya,
Kenapa tidak ditunai wahai Tuhan?
Ampun aku pinta kerana angkuh,
Mungkin belum mengerti rencana-Mu.

Mungkin juga tidak diniat memahami,
Hanya sekadar perhiasan kesyukuran,
Kerana yang sempurna bukan aku,
Dan kekal sempurna hanya-Mu.

Salahkah aku bertanya pada jiwa,
Untuk apa mendamping jasad binasa,
Kerana sungguh ingin aku fahami,
Atas sebab apa patut aku kuat berdiri.

Aku mohon kepada sesiapa yang mendengar,
Untuk terus mendendang kidung rindu,
Agar manfaatnya aku boleh hirup,
Seperti aroma istimewa cintamu.

Kedengaran bosan kata-kata aku ini,
Namun percayalah, bahawa hakikat penciptaan itu,
Tidak kamu tahu ampuhnya hati.

S.H. VII-VI-MMXXI

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *