Pelangi yang Pudar

Tatkala perpisahan itu terjadi,
Linangan air mata telah kuzahirkan,
Kerana taktertahankan akan sakitnya berlainan arah,
Sedang aku masih menyimpan cinta yang kita ukir.

Ingin sahaja aku katakan kepadamu,
Bahawa sesungguhnya tidak pernah aku merasa sunyi,
Laksana kesunyian yang menimpaku kini,
Dek kerana kita telah membawa haluan yang berbeza.

Andai kamu mampu merasa keganjilan hati ini,
Ketahuilah bahawa diriku ini kian melemah,
Kerana ditikam bilahan pedang kerinduan,
Bukan satu, malahan sejuta kali pedihnya kugambarkan.

Aku kini duduk meratapi senja yang berlabuh,
Bersama-sama itu dihiasi sebatang jambatan pelangi,
Yang hadir kerana terseraknya cahaya kekosongan,
Hingga menjadi tatapan indah sang dicintai.

Namun tiada makna warna serakan itu,
Yang kuanggap pudar serta tidak asli lagi,
Kerana pandanganku ini telah tertutup,
Oleh satu lagi kehilangan yang lebih memberatkan hati.

Dalam aku memerhatikan pelangi yang pudar ini,
     Pelangi ini turut bersifat sementara,
     Sementara kamu bahagia dengan pilihan keduamu.

S.H. XXIII-V-MMXXII

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *