Tidak mungkin aku berbohong lagi,
Mengenai apa-apa jua isi hati ini,
Bahawa kamu pernah menjadi suri,
Di atas takhta pemilikan seorang insan.
Namun, akulah yang bersalah semua,
Atas membiarkan rasa itu tumbuh tanpa airnya,
Sehingga dibinanya mahligai kepalsuan,
Yang bukan kamu sahaja; aku tertipu sama.
Pernah cinta itu menjadi saksi,
Kedua-dua insan ini menjalin bicara,
Sehingga dijanjikan bahagia dan tawa,
Namun diruntuhkan oleh tanganku sendiri.
Oh, jadikanlah cakerawala kaya ini sebagai janji,
Bahawa aku tidak pernah menginginkan kepalsuan,
Yang menjeratku menyeksa jiwa yang lain,
Atas gelojohnya aku menilai cinta.
Semoga cakerawala ini mengerti lebih jauh,
Bahawa aku sentiasa berhutang maaf kepadamu,
Atas lakuku yang tidak mencermin kata bicara,
Dan terumbang-ambing dalam ketidakpastian.
Saat cinta itu telah mati,
Aku berdoa sepenuhnya kepada Tuhan,
Agar hiduplah seluruhnya cinta dalam sukmamu,
Supaya tersegarlah cinta itu lebih daripada bersama-samaku.
Selamat tinggal, duhai wanita malang,
yang menjumpaiku pada saat aku lalai dan hilang arah.
S.H. XXVI-IV-MMXXIII
Related
Sudah lama saya tidak membaca sesuatu yang buat diri ini ke galaksi yang luas