Sudikah Engkau Menjadi Perisaiku?

Mohamad Asman bin Mohd Aminjum

Untuk Am, yang selalu ada sebagai watak utama dalam ceritaku.

Kesunyian makmal biologi tidak menandakan isinya kosong. Hamsan yang dari tadi duduk bertenggek dengan teliti memerhatikan tindak balas antara buah pelaga atau nama ‘bijak’nya, Elettaria cardamomum dengan asid cair. Naim yang duduk di sebelah buat-buat menguap sahaja melihat telatah Hamsan yang beria-ia membuat pemerhatian.

“Jadi, Am, apa je dapatan kau hari ni?” tanya Naim.

“Hmm, entahlah. Setakat ni aku rasa macam eksperimen aku tak menjadi. Nampak gayanya kena fikir tindak balas lain pula,” jawab Hamsan, gelabah.

“Haha, apa-apa je lah! Kau nak balik tak ni?”

“Mestilah, tapi tolong aku kemas barang dulu,”

Tiba-tiba pintu makmal diketuk dengan maha kuat dan disertai dengan agahan kawan-kawan mereka. Zafrul, Ken dan Melati nama mereka.

“Tak terkejut,” kata Hamsan, selamba.

“Aku agak dah engkau orang!” kata Naim pula.

“Hahaha, eh jom lah balik. Cikgu Aziz dah keluar tadi dah. Lama dah kita orang tunggu engkau orang ni,” rungut Zafrul.

“Betul tu. Geng, malam ni aku nak ajak engkau orang makan dekat tempat biasa,” ajak Ken.

Mereka semua telah maklum tempat biasa ialah gerai Kak Hasnah yang licik mengebas duit mereka dengan makanan yang tiada tara kelazatannya.

Perbualan tamat dengan semua daripada mereka mengambil langkah masing-masing pulang ke rumah.

***

Jika saiz perut diberi nilai 10, maka tahap kekenyangan Hamsan juga 10. Setelah memelahap dengan rakus di gerai Kak Hasnah tadi, Hamsan menarik kerusi di meja belajarnya. Tangannya mencapai buku catatan yang biasa diletakkan di kanan meja. Pen digenggam erat dan dia mula menulis tentang hampir semua kejadian yang berlaku pada hari ini. Bermula dengan hari persekolahannya yang membosankan, kemudian perihal eksperimen Elettaria cardamomumnya yang tidak menunjukkan hasil sebagaimana yang dimahukan, dan berakhir dengan proses memasukkan makanan ke dalam perut yang mereka semua jalani di gerai Kak Hasnah.

Usai melaporkan hari, gitar akustik yang berhampiran dicapai dan diriba manja. Dia memulakan hobinya yang tidak diiringi bakat itu. Lagu bertajuk Lain Dunia karya asal Padi dimainkan dengan penuh semangat sekali. Alah, semangat macam bila cikgu tak ada tu.

Kurasakan, kuterlena di putihnya nuansa,

Yang kau lukis dalam pesona diri…

“Orang lain menyanyi juga, tapi tak adalah sumbang macam ni!” jerit mama Hamsan dari luar bilik, dengan nada perlian pedas. Hamsan mendengus sahaja. Lampu ditutup dan raganya bersedia membawa jiwanya melayari lautan mimpi aneh tidak berpenghujung.

***

Hamsan menggaru kepala sahaja hari ini. Sungguh sukar untuk diterangkan bagaimana perasaannya hari ini. Dia seakan-akan mendepani hari yang tidak mampu dijangkakan olehnya.

Semuanya bermula dengan insiden seorang pelajar junior yang memanggilnya dan memaklumkan bahawa Cikgu Zahirah memanggilnya dari bilik guru. Apabila dia pergi ke bilik guru, batang hidung Cikgu Zahirah langsung tidak kelihatan. Tambah pula dia sendiri terserempak dengan Cikgu Zahirah di kantin. Namun anehnya, pantas sahaja Cikgu Zahirah menafikan perkara itu. Barangkali mimpi, menurut guru separuh abad itu.

Di makmal biologi pula, Hamsan dikejutkan dengan bunga anemone merah kering yang diselitkan dalam buku teks biologi miliknya. Bahkan seumur hidupnya, dia tidak pernah bertemu dengan bunga spesies itu. Nak dikatakan rezeki, tetapi siapa pula yang rajin berbuat demikian untuknya?

Di kawasan parkir motosikal, Hamsan menceritakan segala-galanya kepada Naim, sahabat rapatnya.

“Aku rasa ada orang suka kau, jadi dia banyak nak berinteraksi dengan kau,” cadang hipotesis Naim.

“Biar betul kau ni? Masalahnya kan, kenapa bunga anemone? Bagilah bunga ros ke, bunga matahari ke. Barulah romantik. Bunga anemone macam nak suruh aku mati pula,” kata Hamsan. Kedua-dua makhluk ini bingung, tetapi diketepikan dahulu.

***

Rupa-rupanya, hari yang indah asalnya menurut Encik Hanafi, pengetua sekolah Hamsan, berubah menjadi agak tragis. Malam semalam, dua orang pelajar sekolahnya terlibat dalam satu kebakaran yang berlaku di dalam kelas 5 Ibnu Sina. Kecoh juga cerita ini dalam kalangan pelajar.

“Aku masih tak faham macam mana kau dengan Khadrina tu boleh ada dalam kelas malam semalam,” kata Hamsan kepada Naim. Melati, Ken dan Zafrul juga turut serta dalam perbualan di dalam kelas sementara mereka, makmal komputer.

“Macam yang aku ceritalah. Malam semalam, aku dapat call dari private number ni, suruh aku datang kelas tu pukul 9 malam. Tapi dia suruh aku senyap-senyap, jangan sampai jaga tahu. Jadi aku seludup masuk ikut pagar belakang. Bila aku sampai, aku nampak kelas tu terang-benderang. Rupa-rupanya Khadrina ada dalam kelas tu juga. Aku pun tanya dia, macam mana dia boleh ada kat situ juga. Dia cakap dia tertinggal buku, jadi dia datang nak ambil buku je,” terang Naim, panjang lebar.

“Okay, lepas tu apa jadi?”

“Alang-alang Khad tunggu mak dia datang ambil, aku pun ajaklah dia borak. Dia pun ada tanya aku kenapa aku ada kat situ juga. Aku pun cakap nak ambil barang. Tiba-tiba, lampu terpadam. Ni yang seram ni. Pintu tertutup sendiri. Aku cuba cari kotak elektrik tu tapi aku tak ingat kat mana. Sedar-sedar, api kiri kanan cepat je marak. Aku pun tak tahu mana datangnya api tu. Aku panik juga, tapi aku dengan Khad redah je api tu,” sambung Naim.

“Susah juga kita orang nak percaya cerita kau, tapi tak apalah. Yang penting repot polis dah buat kan?” kata Ken. Zafrul dan Melati diam sahaja.

Jauh di sudut hati Hamsan, atau Am, bukanlah risau dengan Naim dan Khadrina sangat, tapi lebih kepada cemburu dengan Naim yang boleh bersama-sama dengan Khadrina, pelajar baharu yang agak menarik hati Am. Tapi betullah kan, hati dan perasaan, bukan semua kita zahirkan.

***

Notifikasi daripada kumpulan WhatsApp Liga #SingleSampaiSPM masuk berpusu-pusu. Nampaknya Ken ada perkara yang nak disampaikan kepada rakan-rakannya. Perkara penting pastinya.

Perjumpaan di Roast Delight diatur. Ken memulakan bicara mengenai kebimbangannya tentang kejadian tempoh hari yang menimpa Naim dan Khadrina kerana pada hari ini, dia merasakan bahawa nasibnya sama seperti mereka.

“Aku dapat surat penuh dengan darah hari ni,” kata Ken, serius sambil menunjukkan gambar yang ditangkap olehnya pagi Sabtu itu.

Semua yang berada di meja itu gerun, termasuklah Zafrul.

“Jadi kiranya tayar motor aku pancit hari ni pun ancaman juga?” kongsi Zafrul.

Mereka menggelengkan kepala. Masing-masing merasakan bahawa mereka diancam oleh musuh yang tidak dikenali maujudnya.

“Aku rasa semua ni bermula dengan kebakaran tu. Lepas je kebakaran tu, terus yang lain pun kena ugut sama. Masalah apa yang dia orang nak daripada kita?” soal Melati pula. Mendengar kata-kata ini, Hamsan dan Naim berpandangan sesama sendiri, kerana sebenarnya ancaman itu bermula seawal arahan palsu ‘Cikgu Zahirah’ dan peristiwa bunga anemone lagi.

“Aku ada idea,” kata Hamsan. Semua memandangnya.

“Sebenarnya, akan ada private number yang akan telefon aku, lebih kurang dua hari sekali macam tu. Setiap kali aku angkat, arahannya sama. Suruh aku pergi makmal biologi jumpa dia. Bila aku tanya siapa, terus dia matikan. Aku syak orang ni juga yang aturkan kebakaran haritu,” jelas Hamsan.

“Kenapa kau tak bagi tahu awal-awal pasal benda ni? Kau tahu tak seolah-olah kita semua dalam bahaya?” marah Melati.

“Bukan aku tak nak bagi tahu. Aku takut kau orang semua risau. Tapi lepas apa yang berlaku dekat Ken dan Zafrul, aku rasa aku perlu cerita,”

“Jadi apa rancangan kau?”, tanya Naim, tenang.

“Kita akan pergi makmal tu sama-sama, bila perlu,”

Hamsan memperincikan rancangan mereka iaitu apabila nombor peribadi itu menelefonnya kelak, mereka semua perlu bersedia untuk pergi ke makmal biologi bersama-sama untuk mencari kebenaran di sebalik kejadian aneh yang berlaku. Ken, Naim dan Melati setuju dengan rancangan ini. Cuma Zafrul yang kelihatan agak keberatan untuk mendedahkan diri kepada bahaya yang belum pasti tahapnya.

Paluan gendang didengar, mereka semua sudah bersedia.

***

“Ya Allah, malunya!” jerit Hamsan dalam hati kecilnya.

Akibat terlalu gopoh, dia terlanggar Khadrina yang berjalan di sebelahnya di dalam kelas. Melihat kejadian itu, rakan sekelasnya bersorak sindir kerana tahu Hamsan ada hati dengan Khadrina dalam diam. Yang paling bersemangat sekali ialah Zafrul. Dia siap berpantun bagi menghangatkan lagi kejadian itu.

Malam itu, Hamsan menghantar mesej kepada Khadrina melalui WhatsApp.

Am: Khad

Khad: Ye

Am: Saya minta maaf pasal tadi

Khad: Pasal apa ya?

Am: Aik, pasal yang saya terlanggar awak tulah

Khad: Oh! Pasal tu. Tak ada apalah. Saya salah juga

Am: Hahahaha

Khad: Benda macam tu pun minta maaf bagai

Am: Khad, tengah sibuk ke?

Khad: Tak lah

Am: Apa maksud Bomba?

Khad: Hah? Kenapa tanya pula?

Am: Mesti tak tahu, kan? Majoriti rakyat Malaysia tak boleh jawab soalan ni

Khad: Apa jawapan dia?

Am: Badan Operasi Menyelamat dan Bencana Alam

Khad: Speechless

Am: Saya telefon awak

Malam itu, dari berbicara soal pelajaran, melompat terjun kepada falsafah kehidupan, bahkan disentuh juga tentang hiburan, Hamsan dan Khadrina berborak panjang kegirangan. Ayat-ayat lucu yang diutarakan Hamsan disambut erat oleh Khadrina. Khadrina juga begitu. Ideanya tidak pernah kering dan Hamsan menyukai perkara itu. Bak kata orang, Hamsan dan Khadrina bagai ada chemistry. Di penghujung bicara, Hamsan mengucapkan terima kasih kepada wanita pujaannya itu. Dia berharap untuk terus berada di sisi Khadrina, walau apa jua kondisi mereka kelak.

Telefon dimatikan. Pada masa yang sama, pesanan WhatsApp daripada Naim tidak sempat dibaca oleh Hamsan. Hamsan melelapkan mata.

***

Kicauan burung pada waktu pagi boleh menjadi motivasi kepada mereka yang mengharapkan hari-hari yang lebih baik daripada semalam. Namun di situasi ini, gejolak perasaan yang dilalui oleh Naim tidak layak untuk dihitung oleh orang lain. Seluruh alam raya tertumpu kepada Naim – Si Pelindung Hamsan.

Hamsan koma. Koma yang sifatnya berpanjangan. Namun, asal-usul komanya itu sudah diketahui oleh orang di sekelilingnya. Kini, mereka hanya menunggu Hamsan berhasil dalam pertarungannya dengan kelemahannya.

Celikan mata yang dizahirkan Hamsan telah menggirangkan Naim. Titisan air mata diiringi dengan panggilan kepada doktor memenuhi koridor hospital. Naim tidak dapat mengawal perasaannya apabila Hamsan mula membuka mata.

Selepas sejam daripada saat itu, Naim Kembali berada di sisi Hamsan.

“Berapa lama aku koma?” tanya Hamsan.

“Hari ni hari ke-95,” jawab Naim.

“Oh, lama juga. Hari-hari kau tunggu aku?”

“Takkan aku nak biar je kau macam tu,”

“Aku tanya ni. Memang hari-harilah kau tunggu aku?”

“Ya,”

“Kau tahu apa jadi malam tu?”

“Tak,”

“Aku pergi juga, walaupun aku tahu kau ada mesej aku kata jangan pergi. Sebenarnya aku baca, tapi aku terpaksa pergi,”

Tiba-tiba Naim mengalirkan air mata.

“Kau tahu kan aku sayang kau? Aku cuma nak lindung kau daripada apa yang Si Zaf nak buat, tapi kau sendiri yang cuba korbankan diri kau sendiri,” Naim berkata dengan nada separa serius.

“Maafkan aku, Im. Walau macam mana Zaf rancang nak binasakan aku, aku tetap terhutang budi dengan dia sebab dia kawan baik aku sebelum kau datang,”

“Budi apa yang kau terhutang sangat? Dia tak habis-habis dengan dengki dia. Kebakaran haritu, bunga anemone, surat berdarah, semua dia rancang,”

“Kau tak faham, Im. Dia berhak untuk dengki sebab apa yang aku ada, dia tak ada. Aku faham dia, Im,”

Kedua-dua mereka meleraikan segala yang terbuku dalam minda masing-masing.

Namun, perlu dijelaskan bahawa keadaan Hamsan yang koma bukanlah angkara Zafrul. Malam itu, walaupun dengan niat mahu membunuh, tetapi Zafrul hanya memukulnya. Telah diaturkan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana, waktu itu juga Hamsan tumbang kerana penyakit tumor otak yang baru sahaja didiagnosis oleh pakar kot putih. Pasti kenyataan ini bukanlah mudah untuk diterima oleh semua orang. Namun, Naim yang menjadi penguat, Hamsan mampu meredah onak dan duri kehidupan ciptaan Yang Berkuasa.

***

Bunyi teriakan anak-anak kecil yang asyik bermain memenuhi suasana petang. Papahan Naim membantu Hamsan berjalan ke wakaf yang tersergam indah di taman berkolam itu. Petang ini, mereka sudah berjanji untuk berehabilitasi di situ.

“Kau tahu kenapa aku tak buat repot atas kejadian kat makmal?” tanya Hamsan.

“Kenapa?”

“Engkau sahabat aku yang paling baik, tapi Zafrul dulu yang ada masa aku susah. Bila aku tak ada nanti, carilah kawan yang akan ada saat mula-mula kau susah,”

Naim tersenyum dan mengangguk. Sedang asyik memerhati keindahan makhluk bernama alam sekitar, notifikasi telefon pintar Hamsan berbunyi.

Zafrul 5:03 PM

Maafkan aku, Am. Maafkan aku.

Teh panas di dalam termos dituang dan diminum. Hamsan mengukir senyuman kepada Naim lalu mencapai buku catatannya.

Andai lemahku kerana kurang engkau,

Berpandu aku bergantung penuh.

Jika bersahabat sebagai pengubat,

Sudikah engkau menjadi perisaiku?

Tamat

Biodata Penulis

Mohamad Asman bin Mohd Aminjum merupakan pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin, Pahang. Dia berada dalam lingkungan Generasi Z, yakni dilahirkan pada 5 Januari 2004.

Minatnya terhadap dunia teknologi, politik dan sejarah. Pendengar setia band muzik Padi. Pernah mencuba bermain gitar dan biola tetapi gagal. Sekarang fokus merapu di blog peribadinya yang beralamat di mohamadasman.com.

Nota: Cerpen ini dihasilkan untuk Pertandingan Pengkarya Muda Peringkat Daerah Rompin 2021 yang diterbitkan pada bulan Mei 2021

Keputusan

Alhamdulillah, even cerita macam setan tapi menang juga naib johan 😂

Keputusan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *