Tahun Baharu 2023

Permulaan tahun baharu tidak lain hanyalah sebagai petanda bahawa sebanyak 365 hari telah berlalu sejak kita mengulangi azam kita untuk mengecap hari-hari yang lebih baik. Sebagai tanda refleksi, sudah tentu banyak yang telah berubah sejak detik itu. Teramatlah kita syukuri nikmat kehidupan ini kerana daripada kurniaan Tuhan itulah kita mampu melihat sejuta ruang kebaikan yang kita dambakan. Moga-moga Allah SWT berkehendak ukiran senyuman pada wajah kita mulai saat baharu ini tanpa perlu menangisi ketempangan masa lalu. Kepada yang masih setia menunggu dan berharap, apakah ucapan terbaik selain terima kasih kukuntumkan kepadamu kerana tidak pernah jemu melihat diriku sebagai insan yang istimewa? Semoga kita diatapkan dengan perlindungan dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa.

Saat jiwa ini tidak lagi bermaya, 
kukucupkan kesyukuran kepada-Mu,
kerana masa dan kasih sayang yang kutemui,
jualah Engkau yang tidak berhenti menunjukkan jalan.

S.H. XXXI-XII-MMXXII

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *